Ahad, 4 Oktober 2009

Sejarah Bola Sepak

Bola sepak (Football Association) ialah sukan berpasukan yang paling banyak dimainkan dan ditonton di dunia. Permainan ini dikenali sebagai soccer di Amerika Syarikat.
Badan pentadbiran dunia bola sepak ialah FIFA, atau Persekutuan Antarabangsa Bola Sepak (B. Inggeris: International Federation of Association Football, B. Perancis: Fédération Internationale de Football Association)

Menurut FIFA, permainan-permainan yang mempunyai ciri-ciri bola sepak telah wujud di negeri China sejak abad ke-3 S.M. Berbagai-bagai jenis permainan bola juga telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah.
Pada abad ke-19, permainan bola di sekolah-sekolah United Kingdom (yang mempunyai cara permainan yang berbeza mengikut sekolah) menjadi lebih popular. Lantaran itu, cara permainannya juga lebih teratur. Undang-undang awal diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan yang berbeza-beza itu dan memudahkan pemain-pemain. Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) telah ditubuhkan pada 1863 oleh beberapa kelab bola sepak. Persatuan ini berjaya menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi ‘Undang-undang Bola Sepak’ hari ini.
Kini, urusan Undang-undang Bola Sepak dikendalikan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (International Football Association Board). Lembaga ini ditubuhkan pada 1886 dan mempunyai lapan ahli – empat wakil FIFA, empat wakil persatuan bola sepak England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Segala pemindaan Undang-undang Bola Sepak perlu diluluskan oleh Lembaga melalui undian majoriti.

Populariti bola sepak telah meningkat terutamanya pada abad ke-20. Kini, bola sepak menjadi satu industri yang lumayan melalui pendapatan hak siaran televisyen dan penjualan tiket di stadium-stadium. Permainan ini dimainkan pada peringkat professional level di seluruh dunia. Berjuta-juta peminat biasanya pergi ke stadium bola sepak untuk menyaksikan pasukan pilihan mereka, manakala berbilion-bilion pula melihat perlawanan bola sepak di televisyen. Sebilangan besar pemain juga bermain bola sepak pada peringkat amatur.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA), badan pentadbir bola sepak, yang diterbitkan dalam musim bunga 2001, lebih daripada 240 juta orang biasanya bermain bola sepak dalam lebih daripada 200 negara di seluruh pelusuk dunia.
Peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang minimum tidak syak lagi menolong penyebaran dan tumbesaran dalam populariti sukan ini.
Banyak pihak dalam dunia bola sepak, secara langsung dan tidak langsung Berjaya mempengaruhi dan membangkitkan keinginan yang sangat tinggi terhadap sukan ini. Pengaruh bola sepak memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan individu samada peminat, komuniti tempatan, malah negara; oleh itu ia merupakan sukan yang sangat popular di dunia.

Cara Permainan Bola Sepak

Bola sepak adalah sejenis permainan yang dimainkan di antara dua pasukan yang mengandungi 11 orang pemain yang masing-masing cuba memenangi perlawanan dengan menjaringkan lebih gol daripada pasukan lawannya. Satu gol adalah hasil hantaran bola yang merentasi garisan gol yang terletak di antara tiang gol dan palang gol. Bola sepak dimainkan dengan menggunakan kedua-dua belah kaki, tetapi para pemain dibenarkan menggunakan semua bahagian badannya kecuali tangan. Penjaga gol yang bertugas mengelakkan bola daripada merentasi garisan gol pula dibenarkan menggunakan tangannya untuk menangkap bola di dalam kawasan penalti.
Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol memenangi sesebuah perlawanan. Namun, kalau kedua-dua menjaringkan jumlah gol yang sama, perlawanan itu dianggap seri (draw). Dalam pertandingan kalah mati, bagi menentukan pemenang, masa 30 minit (masa berlebihan, extra time) akan ditambah jika kedua-dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama dalam 90 minit yang asal. Pasukan yang menjaringkan gol yang lebih pada masa berlebihan ini memenangi perlawanan.
Kalau masa berlebihan tidak dapat menentukan pemenang, sepakan penalti akan diadakan. Setiap pasukan diberikan 5 sepakan penalti. Pasukan yang menjaringkan penalti yang lebih memenangi perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan