Ahad, 4 Oktober 2009

Misi & Visi ; Kenapa Bola Sepak?

Bola Sepak dipilih sebagai Medium Pencegahan Dadah untuk belia kerana lebih 90% mereka yang terlibat dalam dadah adalah lelaki. Jadi bola sepak lazimnya adalah satu aktiviti yang dekat di hati belia (lelaki).
Tetapi perlu dijelaskan, program bola sepak yang dimaksudkan ialah apabila program bola sepak tersebut dirancang dan dilaksanakan sehingga menjadi menarik, mengujakan dan penglibatannya pula menyeluruh.

Kenapa ‘Bola Sepak’, Tidak Program Lain?

Ada beberapa faktor kukuh menyokong pendapat penulis, iaitu;

1. Program yang senang dilaksanakan, peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang minimum
2. Program yang menjimatkan; kos dan perbelanjaan yang lebih murah dari program lain
3. Penglibatan program yang mampu disertai ramai dan menyeluruh
4. Menjadi kegilaan belia (lelaki) di Malaysia
5. Kemudahan asas yang tersedia ada
6. Memberi banyak kesan dan faedah positif kepada banyak pihak
7. Mudah dipantau oleh pihak pengurusan
8. Mampu membawa belia pergi lebih jauh dalam bidang ini

Program Yang Menyeluruh, Menjimatkan Dan Berkesan

Umum mengetahui ‘perasaan bosan’ dikalangan belia adalah penyebab asas yang memungkinkan belia terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti dadah.

Program ini juga dapat dilaksanakan secara berterusan, mempunyai kesinambungan dan dapat dilaksanakan berulang kali. Kos tetap seperti padang dan peralatannya untuk program ini tidak banyak berubah. Jadi kita tidak menggunakan banyak wang untuk menguruskan dan meneruskan kesinambungan program. Oleh itu, ‘Penganjuran Bola Sepak yang Menarik dan Mengujakan’ dilihat sebagai satu medium pencegahan dadah yang paling menjimatkan dan mungkin paling berkesan untuk belia kita.

Program seperti Bola Sepak juga menyediakan ruang penglibatan yang lebih luas untuk disertai. Penglibatan yang menyeluruh juga membantu memupuk perpaduan, keterbukaan minda dan perkongsian masalah sesama rakan sebaya.

Dari sudut pembangunan bola sepak pula, program sebegini membantu sasaran mencungkil bakat diperingkat akar umbi (pembangunan bakat muda dan menembusi kawasan seluruh pelusuk tanah air).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan