Rabu, 21 Oktober 2009

Man Marking Tangani Permasalahan Dadah

Renungan Bersama….

MAN Marking merupakan strategi pertahanan yang digunakan dalam bola sepak di mana seorang pemain ditugaskan untuk menjaga seorang pemain lawan berbanding mengawal satu kawasan permainan (zonal marking).

Idea man marking ini telah dijayakan dengan sempurna sekali oleh pasukan Itali pada sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Pasukan seperti Inter Milan dan AC Milan menggunakannya dan dipanggil catenaccio formation.
Taktik ini membawa banyak kejayaan dan menjadi ikutan banyak pasukan dalam bola sepak. Kejayaan agung yang dipersembahkan man marking adalah oleh Claudio Gentile di dalam Piala Dunia 1982 yang mana telah melumpuhkan sama sekali penyerang ketika itu, Diego Maradona.

Dalam dunia permainan bola sepak moden sekarang, banyak mempraktikkan kedua-dua strategi man marking dan zonal marking untuk mencapai lebih kejayaan dan persembahan permainan yang lebih baik.
Tujuan tulisan ini adalah untuk mengajak kita kembali kepada asas pencegahan dadah di mana ia sepatutnya bermula daripada entiti individu, yakni diri kita sendiri iaitu man to man marking.

Maknanya, setiap daripada kita haruslah berdamping bersama seorang penagih dadah untuk membimbingnya kembali ke pangkal jalan secara berkekalan.
Tidak kiralah apa jua status kita, kita tidak harus hanya berpolemik untuk membuat kajian, dasar, perancangan, melancarkan pelbagai program dan pelbagai lagi yang lebih bersifat zonal marking.

Sebaliknya, haruslah bersama menggembleng usaha, tenaga dan buah fikiran dengan ikhlas untuk bersama mencapai Malaysia Bebas Dadah 2015 hanya dengan cara menjadi Claudio Gentile Malaysia dengan melibatkan diri secara langsung dalam masyarakat dalam usaha pencegahan dadah ini.

E-Article ini disunting daripada tajuk asal ;
Amal Man Marking Tangani Ancaman Dadah
05/02/2007 – Dr. Shawaludin Husin,Universiti Sains Malaysia.
UTUSAN (rencana),

Fokus : Bagaimana 'Mencegah Dadah Melalui Bola Sepak'?

Umum mengetahui ‘perasaan bosan’ dikalangan belia adalah penyebab asas yang memungkinkan belia terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti dadah. Oleh itu, ‘Penganjuran Bola Sepak yang Menarik dan Mengujakan’ dilihat sebagai satu kaedah pencegahan dadah yang paling menjimatkan dan mungkin paling berkesan untuk Negara kita.

Mengalihkan Perhatian & Minat

Penganjuran Bola Sepak yang menarik dan menyeluruh dapat membudayakan aktiviti belia. Tujuan kita adalah supaya belia menjadikan permainan bola sepak sebagai aktiviti rutin yang menarik, menyeronokkan, menjimatkan, mudah dan sihat (keluar peluh). Proses ini bermatlamat untuk mengalihkan perhatian dan minat mereka daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, kepada aktiviti bola sepak;
‘ok la sikit daripada ……’

Membentuk Permainan Bola Sepak Yang Fanatik & Mengujakan

Aktiviti ini akan menjadi fanatik dan menarik apabila ;

1. Adanya penyertaan ‘abang-abang senior’ di kampung yang berpengaruh dan ramai ikutan
2. Fasiliti (padang) yang menarik dan memenuhi kriteria (rujuk tajuk ‘Membina Stadium Sendiri’)
3. Memakai jersey yang berwarna terang disamping sut lengkap bola sepak
4. Pengiklanan, poster dan hebahan yang berwarna-warni dan berseni
5. Penganjuran yang konsisten dan bermatlamat
6. Kehadiran ibubapa / penduduk / penonton yang fanatik dan aktif (bersuara,menyorak, menyokong
    dan bertepuk tangan)
7. Tepukan daripada penyokong,rakan dan pihak lawan untuk setiap aksi (percubaan menjaringkan gol atau
    menyelamatkan gol)

Mencuri Masa Belia ; Penuhi Separuh Masa Lapang Dengan Bola Sepak

Apabila kita telah berjaya menganjurkan bola sepak secara konsisten, ia akan membentuk budaya belia menjadikan bola sepak sebagai permainan rutin mereka.

Contoh aktiviti rutin belia yang ingin diubah;
Jam 5.30 p.m – 6.45 pm :

- Melepak dan berbual-bual
- Meronda mengelilingi kampung dengan motosikal Bola Sepak
- Bermain permainan komputer, memancing atau berkebun Bola Sepak
- Bersendirian atau bersama keluarga Bola Sepak
- Pergi ke bandar tanpa tujuan Bola Sepak

Rakan Sepasukan Bertindak Sebagai Kaunselor

Rakan sepasukan (rakan-rakan sekampung) lazimnya lebih memahami jiwa sesama mereka. Apabila remaja menghadapi apa-apa masalah, terutama masalah keluarga, rakan-rakanlah tempat mereka mengadu, menceritakan dan melepaskan apa yang terbuku dihati mereka.

Kita lihat contoh situasi di bawah ;

Hari sabtu, 2.30 petang.. .Rooney dan pasukannya, Kelab Mancheese Keramat United akan bertemu dengan pasukan Chel Laut Biru United pada pukul 5.30 petang ini. Selesai saja makan nasik tengahari tu, tiba-tiba Rooney kena marah dengan ayahnya sebab terlupa belikan ayahnya dedak ayam. Disebabkan terlalu marah, ayah Rooney sound si Rooney ni pedas-pedas... Akibatnya Rooney jadi tension. Mood dia nak main bola petang tu pun jadi tak best... 
Petang tu, jam 5.15ptg, Rooney pergi jugak kat padang bola walaupun dia tengah agak tension lepas kena marah denagn bapaknya... Beckham; kawan sekampung Rooney perasan tengok muka ketat si Rooney masa tengah ikat tali kasut kat tepi padang...
"Apehal plak ko ni Rooney..? Muke ketat je..?" tanya Beckham dengan konpiusnya...
"Takde apelah....Aku tengah bengang ngan bapak aku ni... dia sound aku pasal SPM aku tak pas dulu...dia cakap aku bangang tak macam abang ngan kakak aku." jawab Rooney. "Apekehal plak bapak ko ungkit kes 3-4 tahun lepas...? kan ke skang ko dah tak sekolah..?"tanya Beckham.
"Biasalah...mula-mula dia marah pasal aku terlupa beli dedak ayam tengahari tadi. Punya la panjang dia marah, habis masuk bab aku tak lulus SPM la...bengang tul...!" bentak Rooney..
"Aku faham la sangat bapak ko tu...dia memang pemarah, tapi tak la sampai nak benci ko ke, nak halau ko ke...Just ko kena buktikan la, yang walaupun ko ni xde SPM...ko tetap boleh berjaya...Kan ke ko dah pergi kursus Projek Ternak Ikan Keli Felda tu kan..? Buat la betul-betul projek tu...Buktikan walaupun ko tak berjaya dalam bidang profesional...kurang-kurang..jadi petani moden yang berjaya...kaya...banyak duit..boleh bawak mak bapak ko pegi haji.." kata Beckham.
"Macamni la...ko kena ingat, ko tu penyerang harapan pasukan kita ni...kalau ko tak bagi tumpuan game petang ni...habis teruk kita kena belasah dengan si Chel Laut Biru United tu... Ok?" kata Beckham sambil menepuk bahu Rooney. 
"Ko sumbat kurang-kurang 3 bijik gol tau...? Berani ke..?" Beckham cuba menguji Rooney sambil tersengih... 
"Okey...ko belanja aku mee goreng kedai Makcik Bedah selama 3 hari berturut-turut..? Bleh..?" sergah Rooney. Lantas Beckham dengan konfiden menjawab..."No hal lah...bleh je...!"
Dan mereka ketawa sambil berlari beriringan memasuki padang... .

Adakah Beckham seorang Kaunselor?

Peryertaan Peringkat Tinggi Bola Sepak : Urin Test

Apabila telah sampai satu peringkat permainan yang tinggi, dadah dapat dikesan melalui proses urin. Peringkat permainan yang lebih tinggi bermaksud pertandingan bolasepak dalam peringkat daerah atau kebangsaan Caranya mudah: jemput Pegawai Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia atau Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membuat ujian Urin.


*Sebarang Pengolahan Isi Kandungan Tanpa Kajian Terperinci Bakal Mencacatkan Program Pencegahan Ini

Isnin, 5 Oktober 2009

Cadangan Topik atau Isi Kandungan Kajian Yang Bakal Dibincangkan

Berikut merupakan antara topik yang akan kita sama-sama kaji dan bincangkan.

Kepada semua yang berminat, sila post kan komen anda agar penulis dapat feedback dan boleh bertindak sewajarnya.


ISI KANDUNGAN KAJIAN

1. BOLA SEPAK

1.1. Sejarah Bola Sepak
1.2. Misi & Visi ; Kenapa Bola Sepak?
1.3. Program Yang Menyeluruh, Menjimatkan dan Berkesan
1.4. Siapa Bertanggung-jawab?
1.5. Bola Sepak Pada Pandangan Islam

2. PEMAIN, KELAB DAN PERSATUAN

2.1. Memupuk Minat Dikalangan Belia
2.2. Bagaimana Memilih Pemain Dan Posisi
2.3. Pemilihan Pemain Yang Terbuka Dan Menyeluruh Berdasarkan Minat
2.4. Membentuk Pasukan Idaman (Dream Team)
2.5. Pengurus Pasukan Dan Pemilik Kelab (Penaja)
2.6. Persatuan Bola Sepak (F.A.)
2.7. Pegawai, Pengadil Dan Kakitangan Persatuan
2.8. Carta Organisasi Persatuan
2.9. Mewujudkan Program Akedemi ‘Wonderkid Factory’
2.10. Pemilihan Nama Kelab Dan Persatuan
2.11. Mencipta Logo, Lambang Dan Identiti

3. PENGURUSAN

3.1. Pemain
3.2. Kelab
3.3. Persatuan
3.4. Bola Sepak Untuk Kanak-kanak
3.5. Perisian Untuk Pengurusan (Football Solutions’ Software)

4. LIGA DAN PENGANJURAN

4.1. Matlamat Penganjuran
4.2. Penganjuran Program Belia Yang Konsisten
4.3. Jenis Penganjuran, Kekerapan Dan Kesannya Yang Berbeza
4.4. Pemilihan Nama Dan Konsep Kejohanan / Liga
4.5. Keperluan Asas Untuk Penganjuran
4.6. Pemasaran ; Iklan, Poster Dan Hebahan
4.7. Pembahagian Pemain Dan Asas Pembentukan Kelab
4.8. Proses Undi Dan Majlis Rasminya
4.9. Mengatur Jadual Perlawanan
4.10. Undang-undang Asas
4.11. Majlis Perasmian Pembukaan Dan Penutup
4.12. Hadiah Dan Cenderamata
4.13. Piala Yang Bersejarah Dan Bernilai
4.14. Belanjawan Asas Penganjuran
4.15. ‘Wonderkid League’- Anda Berbakat Sebagai ‘Manager’?

5. DANA & PENGURUSANNYA

5.1. Bagaimana Mendapatkan Tajaan
5.2. Mencari Dana Sendiri
5.3. Perniagaan Milik Persatuan
5.4. Program ‘Franchaise’
5.5. Pengiklanan Sebagai Sumber Pendapatan
5.6. Sumber Alternatif ; Pusat Kitar Semula
5.7. Menonton Perlawanan Juga Menjana Pendapatan
5.8. Perlawanan Amal
5.9. Perakaunan Asas Untuk Persatuan

6. STADIUM DAN PERALATAN

6.1. Membina Stadium Sendiri
6.2. Gotong-royong, Sedikit Ilham Dan Hasil Seni
6.3. Pengiklanan, Hiasan Dan Landskap
6.4. Membina Tapak Perniagaan Di ‘Stadium’
6.5. Peralatan Asas Bola Sepak Professional
6.6. Jersey Dan Peralatan ; Konsep Dan Pemilihan Warna
6.7. Bagaimana Menyimpan Jersey Dan Peralatan

7. LATIHAN DAN PERSEDIAAN PASUKAN

7.1. Mengasah Bakat Pemain
7.2. Latihan Asas Pemain Bola Sepak Professional
7.3. Ujian Cooper Menguji Kecergasan Anda
7.4. Skil Individu
7.5. Matematik Dan Kaitannya Dengan Bola Sepak
7.6. Taktikal Asas Dalam Bola Sepak
7.7. Kekuatan Mental Seperti Pemain Kelas Dunia
7.8. Pendedahan Mematangkan Pemain ; ‘Friendly’
7.9. Keperluan Asas Pasukan Semasa Perlawanan
7.10. Perpaduan ; Turun Sebagai Satu Pasukan
7.11. Budaya Bertepuk Tangan

8. MASALAH & PENYELESAIAN

8.1. Masalah Yang Selalu Timbul
8.2. Punca-punca Kenapa Terjadi
8.3. Apakah Kehendak Asas Pemain
8.4. Sumber Rujukan & Panduan
8.5. Menyelesaikan Masalah Secara Berhemah

9. FOKUS : MENCEGAH DADAH MELALUI BOLA SEPAK

9.1. Mengalihkan Perhatian & Minat
9.2. Membentuk Permainan Bola Sepak Yang Fanatik
9.3. Mencuri Masa Belia
9.4. Peryertaan Peringkat Tinggi Bola Sepak

10. PEMBANGUNAN UNTUK SEMUA

10.1. Pemain Pelapis Yang Berdaya Saing
10.2. Peluang Perniagaan Dan Persekitaran Ekonomi
10.3. Cabaran Untuk Belia ; Bersedialah
10.4. Kecintaan Terhadap Sukan Bola Sepak
10.5. Kemajuan Sains Sukan Dan Pengurusan Professional

Ahad, 4 Oktober 2009

Misi & Visi ; Kenapa Bola Sepak?

Bola Sepak dipilih sebagai Medium Pencegahan Dadah untuk belia kerana lebih 90% mereka yang terlibat dalam dadah adalah lelaki. Jadi bola sepak lazimnya adalah satu aktiviti yang dekat di hati belia (lelaki).
Tetapi perlu dijelaskan, program bola sepak yang dimaksudkan ialah apabila program bola sepak tersebut dirancang dan dilaksanakan sehingga menjadi menarik, mengujakan dan penglibatannya pula menyeluruh.

Kenapa ‘Bola Sepak’, Tidak Program Lain?

Ada beberapa faktor kukuh menyokong pendapat penulis, iaitu;

1. Program yang senang dilaksanakan, peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang minimum
2. Program yang menjimatkan; kos dan perbelanjaan yang lebih murah dari program lain
3. Penglibatan program yang mampu disertai ramai dan menyeluruh
4. Menjadi kegilaan belia (lelaki) di Malaysia
5. Kemudahan asas yang tersedia ada
6. Memberi banyak kesan dan faedah positif kepada banyak pihak
7. Mudah dipantau oleh pihak pengurusan
8. Mampu membawa belia pergi lebih jauh dalam bidang ini

Program Yang Menyeluruh, Menjimatkan Dan Berkesan

Umum mengetahui ‘perasaan bosan’ dikalangan belia adalah penyebab asas yang memungkinkan belia terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti dadah.

Program ini juga dapat dilaksanakan secara berterusan, mempunyai kesinambungan dan dapat dilaksanakan berulang kali. Kos tetap seperti padang dan peralatannya untuk program ini tidak banyak berubah. Jadi kita tidak menggunakan banyak wang untuk menguruskan dan meneruskan kesinambungan program. Oleh itu, ‘Penganjuran Bola Sepak yang Menarik dan Mengujakan’ dilihat sebagai satu medium pencegahan dadah yang paling menjimatkan dan mungkin paling berkesan untuk belia kita.

Program seperti Bola Sepak juga menyediakan ruang penglibatan yang lebih luas untuk disertai. Penglibatan yang menyeluruh juga membantu memupuk perpaduan, keterbukaan minda dan perkongsian masalah sesama rakan sebaya.

Dari sudut pembangunan bola sepak pula, program sebegini membantu sasaran mencungkil bakat diperingkat akar umbi (pembangunan bakat muda dan menembusi kawasan seluruh pelusuk tanah air).

Sejarah Bola Sepak

Bola sepak (Football Association) ialah sukan berpasukan yang paling banyak dimainkan dan ditonton di dunia. Permainan ini dikenali sebagai soccer di Amerika Syarikat.
Badan pentadbiran dunia bola sepak ialah FIFA, atau Persekutuan Antarabangsa Bola Sepak (B. Inggeris: International Federation of Association Football, B. Perancis: Fédération Internationale de Football Association)

Menurut FIFA, permainan-permainan yang mempunyai ciri-ciri bola sepak telah wujud di negeri China sejak abad ke-3 S.M. Berbagai-bagai jenis permainan bola juga telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah.
Pada abad ke-19, permainan bola di sekolah-sekolah United Kingdom (yang mempunyai cara permainan yang berbeza mengikut sekolah) menjadi lebih popular. Lantaran itu, cara permainannya juga lebih teratur. Undang-undang awal diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan yang berbeza-beza itu dan memudahkan pemain-pemain. Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) telah ditubuhkan pada 1863 oleh beberapa kelab bola sepak. Persatuan ini berjaya menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi ‘Undang-undang Bola Sepak’ hari ini.
Kini, urusan Undang-undang Bola Sepak dikendalikan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (International Football Association Board). Lembaga ini ditubuhkan pada 1886 dan mempunyai lapan ahli – empat wakil FIFA, empat wakil persatuan bola sepak England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Segala pemindaan Undang-undang Bola Sepak perlu diluluskan oleh Lembaga melalui undian majoriti.

Populariti bola sepak telah meningkat terutamanya pada abad ke-20. Kini, bola sepak menjadi satu industri yang lumayan melalui pendapatan hak siaran televisyen dan penjualan tiket di stadium-stadium. Permainan ini dimainkan pada peringkat professional level di seluruh dunia. Berjuta-juta peminat biasanya pergi ke stadium bola sepak untuk menyaksikan pasukan pilihan mereka, manakala berbilion-bilion pula melihat perlawanan bola sepak di televisyen. Sebilangan besar pemain juga bermain bola sepak pada peringkat amatur.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA), badan pentadbir bola sepak, yang diterbitkan dalam musim bunga 2001, lebih daripada 240 juta orang biasanya bermain bola sepak dalam lebih daripada 200 negara di seluruh pelusuk dunia.
Peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang minimum tidak syak lagi menolong penyebaran dan tumbesaran dalam populariti sukan ini.
Banyak pihak dalam dunia bola sepak, secara langsung dan tidak langsung Berjaya mempengaruhi dan membangkitkan keinginan yang sangat tinggi terhadap sukan ini. Pengaruh bola sepak memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan individu samada peminat, komuniti tempatan, malah negara; oleh itu ia merupakan sukan yang sangat popular di dunia.

Cara Permainan Bola Sepak

Bola sepak adalah sejenis permainan yang dimainkan di antara dua pasukan yang mengandungi 11 orang pemain yang masing-masing cuba memenangi perlawanan dengan menjaringkan lebih gol daripada pasukan lawannya. Satu gol adalah hasil hantaran bola yang merentasi garisan gol yang terletak di antara tiang gol dan palang gol. Bola sepak dimainkan dengan menggunakan kedua-dua belah kaki, tetapi para pemain dibenarkan menggunakan semua bahagian badannya kecuali tangan. Penjaga gol yang bertugas mengelakkan bola daripada merentasi garisan gol pula dibenarkan menggunakan tangannya untuk menangkap bola di dalam kawasan penalti.
Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol memenangi sesebuah perlawanan. Namun, kalau kedua-dua menjaringkan jumlah gol yang sama, perlawanan itu dianggap seri (draw). Dalam pertandingan kalah mati, bagi menentukan pemenang, masa 30 minit (masa berlebihan, extra time) akan ditambah jika kedua-dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama dalam 90 minit yang asal. Pasukan yang menjaringkan gol yang lebih pada masa berlebihan ini memenangi perlawanan.
Kalau masa berlebihan tidak dapat menentukan pemenang, sepakan penalti akan diadakan. Setiap pasukan diberikan 5 sepakan penalti. Pasukan yang menjaringkan penalti yang lebih memenangi perlawanan.

Bola Sepak Sebagai Kaedah Pencegahan Dadah

Salam.


Sama ada anda semua pernah dengar atau tidak, tahukah anda yang bola sepak adalah satu medium yang amat baik untuk membantu anak-anak muda Malaysia/Melayu/Islam dalam Pencegahan Dadah.. .

Perkara ini yang akan saya cuba bincang dan kupaskan satu persatu dengan semua pembaca. Di negara-negara miskin seperti afrika dan amerika selatan, isu ini telah lama dipandang oleh NGO2 mereka. Ini kerana, bola sepak dilihat sebagai satu medium yang paling murah, menjimatkan dan menyeluruh untuk semua golongan sasar.

Sebagai permulaan, saya akan cuba edit kan catatan saya satu persatu bermula dari sejarah, sasaran, konsep program dan seterusnya proses perlaksanaan bola sepak yang bagaimana yang membantu proses 'Pencegahan Dadah' untuk anak muda Malaysia.


Diharap suatu masa nanti, usaha sebegini membantu kita semua dari sudut perkongsian maklumat, rujukan tambahan untuk pelbagai kajian dan seterusnya membantu mengoptimumkan aktiviti sukan Bola Sepak di Malaysia. Ia bertujuan agar sukan Bola Sepak tidak dipandang sebagai satu sukan yang biasa sahaja sedangkan sukan Bola Sepak mampu memberi impak yang lebih besar untuk negara.


Begitu juga fungsinya dalam segenap perkara rutin belia/anak muda. jika diperhalusi, terdapat banyak peluang terhidang sama ada penjanaan wang, peluang perniagaan, belajar2 berpesatuan, belajar mengurus organisasi dan lain2 lagi.


Dengan itu, saya menyeru anda semua, tidak kira untuk golongan penggiat sukan bola sepak, para siswa aliran sains sukan, pelajar sekolah, atau sesiapa sahaja, bersama-sama berusaha secara kreatif dan kritis dalam membangunkan negara kita yang tercinta.

Khamis, 13 Ogos 2009

Pengenalan

Assalamualaikum...w.b.t. Dan Salam Pengenalan

Tarikh Blog Dibina dan diterbitkan : Hari ni tanggal 14 Ogos 2009 ; Jumaat ; 10.21a.m.

Semoga ia menjadi pemangkin kepada satu pemikiran baru, dimensi baru, harapan baru dan kaedah baru dalam dunia bola sepak yang luas ni.

Selamat datang ke ManagerBola.Com...!